PKR: Penjualan aset negara cecah nilai bilion perlu dibahas di Parlimen

Abang Zulkifli Abang Engkeh

KUCHING, 13 Nov: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak gesa kerajaan menjelaskan apa yang akan dilakukan hasil daripada keuntungan menerusi penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dengan nilai hampir RM10 bilion.

Pemangku pengerusinya Abang Zulkifli Abang Engkeh berharap hasil penjualan tersebut dapat digunakan untuk merancakkan infrastruktur di negeri.

“Ia boleh digunakan untuk menyelesaikan projek sakit seperti jambatan, hospital, sekolah dan projek lain yang lama tertunda,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun sewajarnya membenarkan usul presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan isu tersebut.

Pihak berwajib tambah Abang Zulkifli harus memberi penerangan yang telus dan justifikasi yang baik mengenai penjualan aset kerana hal ini tidak patut disembunyikan daripada pengetahuan umum dan Parlimen.

“Pemimpin negara harus ada iltizam membahaskan penjualan aset gas Petronas yang merupakan syarikat minyak dan gas hak milik Kerajaan Malaysia yang bertanggungjawab membangunkan dan menyediakan sumber pendapatan yang besar untuk Malaysia,” ujarnya.

Dalam kenyataan itu beliau berpendapat penjualan aset negara tanpa ketelusan atas alasan untuk mencapai sasaran mengurangkan defisit disifatkan sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia.

Kerajaan tambah beliau seharusnya perlu fokus kepada aset menarik lebih banyak pelaburan asing baru untuk merancakkan ekonomi dan menambah hasil kerajaan, bukan menjual aset sedia ada. — DayakDaily