KPDNHEP jangka jumlah pembelian dalam talian Kempen Beli Barangan Malaysia meningkat tahun ini

Dato Rosol Wahid

LANGKAWI, 13 Nov: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjangkakan jumlah pembelian secara dalam talian untuk Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) akan meningkat pada tahun ini.

Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato Rosol Wahid berkata, selain daripada pelaksanaan secara fizikal di premis-premis peruncitan, KBBM juga dilaksanakan secara dalam talian bersama rakan-rakan strategik daripada platform dalam talian (marketplace) iaitu Shopee, LAZADA dan PGMALL.

“Pelaksanaan ini selari dengan perkembangan dan keadaan semasa berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia. Kita menyaksikan urusan jual beli kini telah tertumpu ke arah pendigitalan.


“Berikutan itu, dijangkakan pembelian secara dalam talian akan menunjukkan peningkatan yang amat ketara,” katanya semasa merasmikan KBBM Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Dataran Cenang, Pulau Langkawi, Kedah hari ini.

Pada tahun 2019, pelaksanaan KBBM telah mencatatkan nilai jualan sebanyak RM2.87 billion dan RM6.84 juta nilai jualan diperolehi melalui portal dalam talian marketplace.

Sementara pada tahun 2020, pelaksanaan kempen ini telah menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.3 bilion dengan portal dalam talian marketplace telah mencatatkan peningkatan yang amat besar dengan nilai jualan melebihi RM145 juta berbanding tahun 2019.

Menurut Rosol lagi, KBBM juga disasarkan menjadi serampang dua mata dalam membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan sekaligus mengukuhkan ekonomi negara.

“KPDNHEP sedar bahawa ramai pengguna terkesan dengan pandemik yang berlaku di mana kuasa membeli pengguna juga menurun.

“Justeru, pada tahun ini, KPDNHEP menyasarkan supaya manfaat KBBM ini juga dinikmati secara terus oleh pengguna melalui penawaran harga istimewa bagi barangan keluaran tempatan,” ujarnya.

Program Karnival Jualan Beli Barangan Malaysia yang bermula pada 11 hingga 14 Nov 2021 itu merangkumi 20 buah booth jualan dan pameran yang menawarkan pelbagai produk tempatan bagi kawasan di sekitar negeri Kedah.
Program ini diadakan untuk mempromosikan produk-produk tempatan dengan tema beli barangan buatan Malaysia di samping membantu usahawan-usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan dalam memasarkan produk-produk mereka kepada orang ramai. — DayakDaily