PKR: Keluarkan dana Kumpulan Wang Konsesi Hutan, naik taraf sistem kesihatan di pedalaman

Roland Engan

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 4 Julai: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mencadang agar sejumlah dana daripada Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan dikeluarkan untuk tujuan menaiktaraf sistem kesihatan di kawasan pedalaman Sarawak.

Naib Pengerusinya Roland Engan berkata, Lembaga Kumpulan Wang Kawasan Konsesi Hutan (LKWKKH) perlu mengambil inisiatif itu dengan segera khusus bagi menaiktaraf jalan-jalan akses ke setiap kampung di pedalaman Sarawak.

“Salah satu tujuan Kumpulan Wang tersebut ditubuhkan pada tahun 80-an yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri sehingga sekarang ialah untuk menaiktaraf sistem kesihatan, sistem perhubungan jalan, pertanian dan sebagainya.


“Difahamkan bahawa semua kampung di pedalaman Sarawak seperti kawasan Baram, Limbang, Hulu Rejang, Selangau dan Lawas termasuk dalam kawasan konsesi balak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Roland, usaha menangani Covid-19 sangat mencabar di kawasan pedalaman Sarawak kerana sistem kesihatan, sistem komunikasi dan sistem jalan akses yang mundur.

Justeru katanya, pihak berwajib seperti LKWKKH yang mengurus kumpulan wang tersebut perlu menggunakan sebahagian dana untuk membantu menerangi Covid-19 dan memulihkan ekonomi mereka.

“Kampung-kampung di pendalaman terpaksa bergantung pada syarikat balak untuk penyelenggaraan jalan balak dan kemudahan kenderaan awam.

“Klinik kesihatan pula adalah jauh daripada kebanyakan kampung. Pertanian sara diri masih giat diamalkan,” ujar Roland. — DayakDaily