PKPS: LHDNM diarahkan mengambil tindakan tegas ke atas pengawai yang mengugut pembayar cukai

Lim Guan Eng

KUCHING, Feb 10: Kementerian Kewangan telah mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang segelintir pegawainya mengambil kesempatan mengugut pembayar cukai dalam perlaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata demikian dan menjelaskan program terbabit adalah proses pemutihan cukai oleh LHDNM untuk membantu mereka yang membuka akaun bank di luar negara dengan wang pendapatan daripada Malaysia yang belum dilaporkan atau dikenakan cukai.

“Saya juga telah meminta LHDNM untuk mengambil tindakan tegas terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawai LHDNM yang cuba mengambil kesempatan di atas perlaksanaan PKPS ini, dengan menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan medianya yang disiarkan di laman Facebook kementerian itu hari ini.


Lim tidak memberi butiran mengenai aduan itu tetapi mengumumkan yang satu e-mel atau surat baharu akan dihantar semula oleh LHDNM untuk mengantikan surat edaran PKPS sebelum ini agar tidak timbul sebarang salah faham.

Beliau mengakui kementerian terbabit telah menerima banyak pertanyaan daripada individu yang telah menerima surat dan e-mel daripada LHDNM berkaitan PKPS dan menjelaskan mereka tidak perlu resah sekiranya tidak mempunyai akaun di luar negara.

“Pembayar cukai yang mempunyai akuan di luar negara boleh membuat pelaporan secara sukarela sekiranya terdapat pendapatan yang disimpan di dalam akaun bank luar negara yang sumbernya diperolehi daripada pendapatan yang diterima daripada Malaysia tetapi belum dilaporkan atau dikenakan cukai,” katanya.

Katanya sekiranya pendapatan terbabit telah dilaporkan kepada LHDNM atau dikenakan cukai dan disalurkan ke luar negara maka segalanya adalah teratur dari sisi-undang-undang cukai pendapatan.

“Dengan erti kata lain, PKPS menawarkan satu penyelesaian cukai bagi mereka yang ada akaun bank di luar negara tetapi pendapatannya tidak dilaporkan kepada LHDNM,” katanya.

Menurutnya pembayar cukai dalam kategori itulah yang diminta dalam e-mel dan surat LHDNM untuk menghubungi atau melaporkan pendapatan tersebut kepada lembaga terbabit dan kerajaan juga bersetuju untuk memberikan pengurangan bayaran penalti.

“Pengurangan bayaran penalti daripada 300 peratus kepada 10 peratus sekiranya dilaporkan sebelum 31 Mac 2019 atau 15 peratus jika dilaporkan antara 1 April sehingga 30 Jun 2019,”katanya.

Beliau juga menegaskan tiada ada perubahan dalam sistem dan kuantum penalti cukai berkuatkuasa untuk pembayar cukai dalam Malaysia dan masih mengunakan struktur penalti yang sama.

“Tindakan perubahan yang dibuat adalah menghentikan serbuan ke rumah pembayar cukai pada tengah malam oleh pegawai bersenjata dan bertopeng muka sebelum ini,” katanya dan meminta orang ramai yang masih ada pertanyaan lanjut mengenai PKPS untuk berkunjung ke pejabat LHDNM berhampiran.

Selain itu mereka juga boleh menubungi talian Hasil Care Line LHDNM di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713-6666 (luar negara) atau e-mel pertanyaan kepada pengakuansukarela@hasil.gov.my atau menghubungi pegawai khas Menteri Kewangan Dato Ooi Kok Seng (012-4868838), Muhammad Sadiq Noor Azlan (011-12170764) atau Chew Khai Yen (019-7705695). — DayakDaily