PKPD: Penduduk Kampung Haji Baki diingat untuk terus duduk di rumah

Supt Aidil Bolhassan

KUCHING, 7 Nov: “Duduk Rumah,” itu pesanan Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan kepada penduduk Kampung Haji Baki yang terlibat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Katanya, penduduk kampung tersebut sentiasa diingat untuk tidak keluar daripada kediaman mereka sekiranya tiada keperluan penting agar usaha untuk menyekat penularan wabak Covid-19 dapat dilakukan dengan lebih efektif.

“Kampung Haji Baki telah di kenakan PKPD selama dua minggu bermula 28 Oktober lalu sehingga 11 November ini selepas terdapat peningkatan kes serta kemunculan kluster baharu di kampung tersebut dan hari ini merupakan hari ke-10 PKPD dilaksanakan di kampung ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Supt Aidil (tengah) bersama petugas barisan hadapan yang bertugas di salah satu sekatan jalan masuk ke Kampung Haji Baki yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 11 November ini.

Aidil berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk berkhidmat tanpa mengira situasi namun begitu masyarakat tegasnya perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan kesihatan mereka sendiri.

Katanya, dengan adanya rasa tanggungjawab dan kerjasama antara semua pihak usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19 pastinya akan dapat dilakukan.

“Tanam kata-kata dalam diri ‘Stop Covid 19’ serta ‘Kita jaga kita’ dan bersama-samalah kita memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 yang telah banyak menjejaskan rutin kehidupan kita,” katanya. — DayakDaily