PKPB: Polis keluarkan 31 kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 26: Sebanyak 31 kompaun atas kesalahan ziarah Hari Raya Aidilfitri telah dikeluarkan pihak polis di seluruh negara setakat semalam, tegas Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, keseluruhannya pihak polis telah mengeluarkan kompaun kepada 387 individu di atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).


“Daripada 102 kompaun yang dikeluarkan polis, 31 kompaun atas kesalahan ziarah Aidilfitri, manakala sebanyak 285 kompaun dikeluarkan di lapangan dengan 194 dikeluarkan di sekatan jalan raya.

“Saya tahu mungkin ramai yang menganggap tindakan polis adalah sangat keras, tetapi keseluruhannya hanya 102 kompaun dikenakan kepada mereka yang mengingkari perintah yang dikeluarkan.

“Ini bermakna jumlahnya adalah kecil berbanding dengan keseluruhan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media harian PKPB di Putrajaya hari ini.

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa sebanyak 738 kenderan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarahkan berpatah balik oleh pihak polis semalam.

Katanya, jumlah itu berkurangan berbanding dengan 1,243 kenderaan pada hari sebelumnya.

“Negeri yang mencatatkan cubaan merentas negeri untuk pulang ke kampung yang tertinggai adalah Selangor iaitu sebanyak 317, dikuti Melaka dengan 89 dan Kedah dengan 80,” ujar beliau.

Dalam pada itu, pihak polis semalam telah menahan 65 individu diatas kesalahan ingkar PKPB yang mana 57 telah pun direman dan lapan individu diberikan jaminan polis. — DayakDaily