PKPB: Kenderaan persendirian boleh bawa penumpang ikut kapasiti tempat duduk

Operasi sekatan jalan raya (SJR) di bandar raya Kuching. - File photo

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 26: Kerajaan telah mewartakan peraturan membenarkan kenderaan membawa penumpang berdasarkan kapasiti kenderaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peraturan tersebut akan berkuatkuasa mulai esok, 27 Mei 2020.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan telah mewartakan peraturan-peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit-berjangkit, langkah-langkah di dalam kawasan jangkitan No. 6 Pindaan 2020 .

“Pindaan tersebut antara lain adalah berkaitan dengan kapasiti penumpang bagi kenderaan persendirian,” katanya pada sidang media harian PKPB di Putrajaya hari ini.

Bagi kenderaan persendirian, tambah Ismail Sabri, pemandu boleh membawa penumpang mengikut kapasiti kenderaan masing-masing yang dikawal selia di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu Akta 333.

“Bermakna, jika kapasiti tempat duduk kenderaan itu adalah empat, maka pemandu boleh membawa tiga penumpang.

“Tetapi untuk kenderaan seperti MPV, ia boleh membawa maksimum enam orang penumpang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata ia masih tertakluk kepada syarat-syarat sedia ada iaitu semua penumpang mesti daripada keluarga ataupun yang tinggal serumah. — DayakDaily