PKPB: Pergerakan rentas negeri dibenarkan untuk kes kecemasan sahaja

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic
Advertisement

Chris Bishop

KUCHING, MEI 11: Orang ramai hanya boleh melakukan pergerakan rentas negeri jika ia melibatkan kes kecemasan seperti kematian, kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, pergerakan tersebut harus mendapat kelulusan daripada pihak polis terlebih dahulu.

Advertisement

“Mereka boleh mendapatkan kebenaran dari balai-balai polis yang berhampiran dengan rumah mereka,”katanya pada sidang media harian berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya hari ini.

Menurut Ismail, pergerakan rentas negeri yang bermula pada 7 Mei lepas telah berakhir semalam (10 Mei) dan telah dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang kesesakan di jalan raya.

Dengan demikian katanya, tiada lagi kelonggaran untuk pergerakan rentas negeri bagi rakyat Malaysia yang berada di kampung untuk pulang ke bandar atau sebaliknya.

Mengulas lanjut berhubung pergerakan rentas negeri, pihak polis menurut Ismail, telah menerima dan meluluskan sebanyak 401,253 permohonan melalui aplikasi Gerak Malaysia dan juga borang manual polis.

“Semalam sebanyak 109,309 kebenaran melalui aplikasi Gerak Malaysia dan 1,388 kebenaran melalui borang manual polis telah dikeluarkan oleh pihak polis,” ujar beliau.

Berhubung pengumuman perlanjutan PKPB yang memasuki Fasa II sehingga 9 Jun 2020, kerajaan katanya akan mewartakan PKPB pada 12 Mei untuk dilaksanakan pada 13 Mei.

Jelas beliau, ini bermakna undang-undang dibawah Akta 342 akan terus dikuatkuasakan.

“Walaubagaimanapun jika ada perubahan dari segi SOP, ianya akan dibuat sewaktu atau sebelum PKPB Fasa II bermula,” ujar Ismail. — DayakDaily

Advertisement