PKPB: Kerajaan pertimbang laksanakan peraturan larang kanak-kanak memasuki pasaraya

Grocery store aisle and shelves. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay
Advertisement

KUCHING, Mei 11: Larangan membawa kanak-kanak ke pasaraya boleh disenaraikan di dalam peraturan di bawah akta 342 jika ibu bapa masih berdegil.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ibu bapa disarankan untuk tidak membawa anak-anak mereka ke tempat khalayak ramai seperti pasaraya.

“Seperti yang saya katakan bahawa di bawah akta 342, kita tidak menetapkan peraturan untuk menghalang ibu bapa daripada membawa anak-anak mereka ke pusat membeli belah.

Advertisement

“Walau bagaimanapun, keselamatan anak kita adalah tanggungjawab kita.

“Tanya diri kita, adakah anak-anak ini akan selamat jika berada di kalangan kumpulan manusia yang ramai di dalam kawasan tertutup seperti di dalam pasaraya?”

Beliau berkata demikian pada sidang media harian berkaitan PKPB di Putrajaya hari ini.

Jika perkara ini berterusan, tambah Ismail Sabri, kerajaan boleh memasukkan larangan tersebut di dalam peraturan di bawah akta 342 sebagai perkara yang negatif di dalam senarai prosedur operasi ‘standard’ PKPB.

“Jadi kita akan bincang perkara ini dan jika masih ada lagi ibu bapa yang tidak menghiraukan keselamatan anak anak, kerajaan boleh membuat undang-undang melarang.

“Tetapi sehingga kini saya masih mengharapkan agar ibubapa mengambil tanggungjawab dalam kawalan kendiri ini,” tegas beliau.

Pada sidang media yang sama, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa pada semalam atas nasihat Menteri Kesihatan, PKPD Ke-8 telah dilaksanakan di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor.

Ia berkuatkuasa mulai Mei 10 hingga 23 dan melibatkan seramai 2,900 penghuni kediaman dan premis perniagaan. — DayakDaily

Advertisement