PKPB: Fasa nasihat dan amaran berakhir, PDRM diberi kuasa ambil tindakan

Foto fail memaparkan operasi sekatan jalan raya (SJR) di bandar raya Kuching.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Mei 12: PDRM telah diberikan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap individu yang gagal mematuhi peraturan dan prosedur operasi ‘standard’ (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet pagi ini setelah meneliti laporan polis.

Advertisement

“Banyak kes yang melibatkan ketidakpatuhan semasa pemeriksaan dilakukan. Tetapi seperti yang saya sebutkan bahawa setakat fasa ini, pihak polis hanya memberikan nasihat dan amaran.

“Oleh itu, di dalam mesyuarat pagi ini, kita telah memutuskan bahawa fasa nasihat dan amaran berakhir dan polis diberikan kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media harian berkaitan PKPB di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau lagi, di bawah Akta 342, kesalahan melanggar peraturan dan SOP memperuntukkan hukuman kompaun RM1,000.

Jika dibawa ke mahkamah, hukumannya adalah kompaun RM1,000 maksima atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kepada mereka yang masih gagal untuk mematuhi peraturan dan SOP, mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata rakyat seolah-olah menganggap PKPB ini sudah tiada undang-undang.

Katanya, ramai yang merasakan kebebasan ini tanpa syarat dan mula mengambil kesempatan untuk keluar beramai-ramai.

“Saya hendak tekankan bahawa Akta 342 masih berkuatkuasa dan yang kedua, apabila kita melonggarkannya, kita mahu setiap rakyat patuh kepada setiap peraturan dan SOP yang dikeluarkan.

“Kita bimbang akan berlakunya kes-kes baharu yang mungkin akan meningkatkan lagi jumlah Covid-19 positif ini,” ujar beliau.

Ismail Sabri memberi peringatan bahawa PKPB bukan boleh terus kekal, tetapi ia juga boleh diperketatkan semula.

Jelas beliau lagi, jika berlaku banyak ketidakpatuhan adalah tidak mustahil PKP 1, PKP 2 dan PKP 3 diperkenalkan semula.

“Kalau kita ingin terus menikmati PKPB dan akhirnya mungkin ditamatkan, ia bergantung kepada pematuhan rakyat semua.

“Jika tidak, adalah tidak mustahil kita kembali kepada PKP yang asal dan akhirnya membataskan pergerakan kita,” katanya. — DayakDaily

Advertisement