PKP: Sarawak umum peruntukan tambahan RM16.4 juta, bantu golongan paling terjejas

Abang Johari (tengah) memeriksa stok beras yang di jual di Pasaraya Ta Kiong.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Mac: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM16.4 juta, khusus untuk membantu golongan rakyat yang paling terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengumuman itu dibuat Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Open pada sidang media selesai melakukan tinjauan di Pasaraya Ta Kiong di The Spring di sini, hari ini.


“Peruntukan ini khusus untuk golongan berpendapatan rendah, penduduk di luar bandar, mereka yang hilang pekerjaan termasuk golongan gelandangan di bandar. Ia adalah untuk membeli barangan keperluan asas termasuk makanan,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberi jaminan bahawa barangan keperluan asas yang dijual di pasaraya utama di seluruh negeri adalah mencukupi.

Namun katanya, kerajaan telah menggesa pihak pengurusan pasaraya untuk memastikan mereka mempunyai stok untuk sebulan atau lebih.

“Paling penting adalah bekalan barangan keperluan asas ini mencukupi untuk tempoh lanjutan PKP. Ia termasuk bekalan di kawasan di luar bandar,” ujar beliau.

Pada tinjauan di Pasaraya Ta Kiong hari ini, beliau memaklumkan bahawa barangan keperluan asas seperi beras, gula, garam, tepung, sayur, minyak masak dan sebagainya adalah mencukupi. — DayakDaily