PKP: Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur dan Pasar Borong Selayang PKPD ke-6

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 20: Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Selayang diisytihar sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke-6.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membuat keputusan tersebut atas nasihat Menteri Kesihatan.


“PKPD ini berkuatkuasa mulai hari ini( 20 April 2020) sehingga 3 Mei 2020 dan melibatkan lapan kawasan yang telah dikenal pasti.

“PKPD ke-6 ini dilaksanakan untuk membendung jangkitan Covid-19 dikawasan tersebut dan langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan dan saringan kesihatan terhadap penduduk di kawasan tersebut dilakukan.

“Semua penghuni diminta bertenang dan memberi kerjasama. Kita tak mahu ada yang lari kerana ia mungkin akan menyebarkan Covid-19 kepada orang lain,” kata Ismail Sabri.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PKP di Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa polis semalam telah menahan seramai 1,174 individu berkaitan kesalahan ingkar PKP di seluruh negara.

Katanya, ia merangkumi 1,012 individu yang telah direman dan 162 individu dijamin polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat ini adalah 15,924 individu.

“Saya ingin ingatkan kepada orang ramai bahawa PKP masih berjalan seperti biasa tanpa kelonggaran,” katanya. — DayakDaily