KUCHING, Apr 25: Persiapan diatur untuk membawa balik lebih 6,000 pelajar Sarawak yang masih berada di Semenanjung Malaysia sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, proses membawa mereka pulang dapat dilaksanakan sebelum hari raya pada bulan Mei depan.
“Kerajaan Negeri sememangnya telah membuat perancangan untuk membawa pulang lebih 6,000 pelajar-pelajar yang berada di Semenanjung Malaysia sebelum pengumuman dibuat.
“Kita perlu membuat perancangan yang teratur kerana kapal terbang hanya boleh memuatkan jumlah tertentu sahaja.
“Kita perlu bincang dan sebelum hari raya nanti mereka sudah balik ke Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya hari ini.
Tambah Nancy yang juga MP Batang Sadong, pelajar-pelajar ini akanvditerbangkan ke destinasi masing-masing.
Katanya, lebih 1,000 pelajar akan pulang ke Kuching manakala sekitar 800 akan ke Sibu dan lebih 700 pelajar ke Miri dan seterusnya ke bahagian lain.
Kerajaan telah membuat keputusan membenarkan pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA)vdan swasta (IPTS) termasuk politeknik serta kolej komuniti yang masih berada di kampus untuk pulang ke rumah masing-masing bermula 27 April ini.
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media semalam memaklumkan bahawa waktu perjalanan yang dibenarkan adalah dari 9.00 malam hingga 9.00 pagi.
Menurutnya, pergerakan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan hanya melibatkan perjalanan ke zon hijau sahaja.
Pelajar yang terlibat juga akan menjalani saringan gejala sebelum menaiki bas dan dibekalkan makanan serta topeng muka. —DayakDaily