PKP: Pergerakan antara negeri dibenarkan 1 hingga 3 Mei


KUCHING, APR 25: Polis Diraja Malaysia(PDRM) menetapkan bahawa tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Dato Huzir Mohamed menerusi kenyataan media hari ini berkata, permohonan dibuka mulai 26 April 2020.

“Bagi yang membuat permohonan pada 26 April 2020, mereka hendaklah mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan.


“Seterusnya pada 1 Mei 2020, mereka bolehlah menyemak status permohonan yang dibuat atas talian tersebut,’kata Huzir.

Pengguna jalan raya katanya dikehendaki merancang perjalanan mereka mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Walau bagaimanapun tambah beliau, bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia, permohonan bertulis boleh dibuat di balai polis berhampiran.

“Keutamaan perjalanan akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia,”tegas Huzir.

Aplikasi Gerak Malaysia boleh dimuat turun daripada Google Playstore, Apple App dan Huawei App.

Kerajaan pada 23 April lepas telah membuat keputusan membenarkan rakyat yang terkandas di kampung ekoran Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pulang ke kediaman masing-masing. —DayakDaily.