PKP: Penderma darah dibenarkan ke hospital dan klinik untuk menderma darah

Blood donation. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 27: Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini memaklumkan bahawa penderma darah dibenarkan keluar untuk menderma darah di hospital dan klinik.

Katanya, keputusan dibuat setelah bekalan darah di tabung darah hospital tidak mencukupi di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


“Mesyuarat khas menteri-menteri pagi tadi dimaklumkan bahawa bekalan darah di tabung darah negara berkurangan sebanyak 33 peratus sejak pelaksanaan PKP.

“Pusat darah negara telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan mengalakkan penderma darah untuk menderma darah,” katanya.

“Berikutan dengan itu, mesyuarat hari ini telah meluluskan pergerakan penderma-penderma darah untuk ke hospital dan klinik kesihatan bagi tujuan menderma darah,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, pergerakan penderma darah ini dibenarkan dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Pada sidang media yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa polis semalam telah menahan seramai 606 individu berkaitan kesalahan ingkar PKP di seluruh negara.

Katanya, ia merangkumi 556 individu yang telah direman dan 72 individu yang diberikan jaminan polis.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP setakat ini adalah 20,617 individu,” ujar beliau. — DayakDaily