PKP: Jalan-jalan tikus dikawal ketat, tiada pencerobohan — Ismail Sabri

The Tebedu border checkpoint. - file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 13: Tiada pencerobohan warga luar memasuki negara melalui jalan tikus, kata Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada sidang media harian berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)di Putrajaya hari ini, beliau berkata pintu sempadan terutamanya jalan-jalan tikus dikawal ketat oleh agensi keselamatan.


“Ramai yang melahirkan kebimbangan tentang kawalan kita di sempadan terutamanya di jalan-jalan tikus.

“Kita mendapat laporan daripada PDRM dan APMM bahawa pintu-pintu sempadan terutamanya jalan-jalan tikus yang digunakan oleh pendatang tanpa izin untuk memasuki negara kita sentiasa dikawal ketat,” katanya.

Tambah Ismail Sabri, tindakan tegas pastinya akan diambil atas warga asing yang memasuki negara melalui jalan-jalan tikus.

Katanya lagi, kawalan bukan sahaja dilakukan di pintu-pintu sempadan dan di jalan-jalan tikus tetapi perairan negara juga dikawal ketat.

“Ini bagi mencegah pencerobohan dari laut termasuk juga bot-bot nelayan dari negara asing yang banyak menceroboh ke perairan kita.

“Tentera laut bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia akan mengambil tindakan tegas untuk menghalang kemasukan mereka,” ujar beliau lagi. — DayakDaily