Pinjam RM8,000, kena bayar balik RM290,000

File Photo/Photo source: Wikimedia Commons

KUCHING, 27 Okt: Seorang lelaki disyaki pemberi pinjam wang tanpa lesen ditangkap pada 25 Oktober lalu kerana didakwa mengenakan faedah bayaran balik yang tinggi.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad memberitahu suspek ditangkap di Siburan selepas laporan dibuat oleh seorang lelaki berusia lewat 50an.

Katanya, mamgsa mendakwa hanya membuat pinjaman sebanyak RM8,000 pada tahun 2019 dan dipaksa membayar balik sehingga RM290,000.


“Mangsa memberitahu dia telah membayar sehingga RM100,000 melalui bayaran bulanan sebanyak RM7,950 hingga RM8,750 sebulan sejak 2019.

“Mangsa turut mendakwa dia disuruh membayar RM265 sehari jika lambat membuat bayaran ansuran bulanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kes disiasat dibawah seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh denda tidak kurang daripada RM250,000 tetapi tidak melebihi daripada RM1 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya. — DayakDaily