Institusi penjara bagi negeri dalam PPN Fasa 4 dibenar menerima pelawat

Prison cell. — DayakDaily.com file pic. // Image by Ichigo121212 from Pixabay

KUCHING, 27 Okt: Jabatan Penjara Malaysia (JPM) membenarkan perjumpaan dan lawatan oleh pelawat yang lengkap divaksinasi di semua institusi penjara bagi negeri di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Dalam satu kenyataan hari ini, JPM berkata ia dibenarkan dengan syarat dan garis panduan ketat yang wajib dipatuhi.

“Ini seperti mana yang ditetapkan bagi pengawalan dan pencegahan Covid-19 dalam PPN Fasa 4 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara,” katanya.


Menurut JPM, pelawat boleh membuat tempahan terlebih dahulu melalui kaedah Sistem i-Visit (ivisit.prison.gov.my), panggilan telefon dan email atau surat.

Katanya, pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dengan had masa sesi lawatan tidak lebih 30 minit.

“Hanya dua orang pelawat sahaja dibenarkan dan pendaftaran terbuka tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.

Bagi pelawat warga emas yang berumur lebih 60 tahun, kebenaran yang diberi adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

Maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia www.prison.gov.my. — DayakDaily