Pindaan artikel 16 Pelembagaan Sarawak perlu berpaksikan kepada melindungi rakyat Sarawak

Abun Sui Anyit (file photo)

KUCHING, 13 Nov: Pindaan terhadap terma penduduk Sarawak atau ‘resident of the state’ dalam Artikel 16 Pelembagaan Sarawak perlu berpaksikan kepada melindungi rakyat Sarawak agar pihak luar Sarawak tidak  boleh menjadi calon dalam pilihan raya negeri Sarawak kata Ketua Penerangan Majlis Perwakilan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Abun Sui Anyit.

Justeru kata beliau, PKR Sarawak menggesa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melindungi hak Sarawak berdasarkan Seksyen 71 Akta Imigresen 1959/63  yang benar-benar memihak kepada Sarawak.

“Seseorang yang mahu diangkat sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak perlulah ada pertalian Sarawak atau  “Sarawak connection” dan bahagian ini perlu diberikan perhatian lebih agar unsur-unsur luar tidak  berupaya mempengaruhi dan menentukan hal-ehwal yang berkaitan dengan pentadbiran di  Sarawak.


“Pindaan Perkara 16 Perlembagaan Sarawak perlu memberi penekanan “resident in the state” dan berlandaskan tafsiran lebih baik serta selamat dari maksud Seksyen 71 (1)(b)(1 – iii) Akta Imigresen 1959/63 iaitu ada hubung kait dengan nenek moyang anak Sarawak tersebut telahpun bermastautin di Sarawak pada atau sebelum Hari Malaysia (pembentukan Malaysia, 16 September 1963),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pindaan tersebut bukan sahaja dibuat selari dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan umur mengundi serta dipilih untuk menjadi calon dalam pilihan raya malah ia juga harus  selari dan bersesuaian dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), iaitu kuasa Imigresen Sarawak adalah di dalam tangan kerajaan Sarawak

Abun Sui berkata, segala peruntukan negara yang menjejas hak Sarawak secara tidak langsung merupakan salah satu tindakan pelanggaran terhadap MA63.

Beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk pihak yang kehilangan hak-hak tersebut seperti Sarawak untuk menuntut balik apa hak–hak yang telah hilang tersebut dikembalikan jika hak-hak yang telah dipersetujui  itu telah dicabuli dan dihakis dengan tidak adil.

“Inilah syarat pembentukan Malaysia yang telah dipersetujui oleh bapa–bapa pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dahulu.

“Justeru tidak ada mana–mana pihak dalam Persekutuan Malaysia perlu kritikal terhadap apa yang telah dipersetujui dahulu,” katanya. — DayakDaily