KUCHING, 19 Dis: Pihak Berkuasa Tempatan digesa memastikan semua sistem perparitan di sepanjang jalan raya di kawasan seliaan berada di dalam keadaan baik.
Pembantu Khas kepada Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Chong Chieng Jen, Michael Kong berkata, ia bagi mengelakan berlakunya banjir kilat di musim tengkujuh pada masa ini.
“Setiap sistem perparitan hendaklah berada di dalam keadaan sempurna, pihak berkuasa tempatan hendaklah memastikan tiada sebarang kotoran menghalang pergerakan air.
“Sistem perparitan hendaklah sentiasa di bersih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengambil contoh kejadian banjir kilat yang berlaku di sepanjang jalan dari Batu 7 ke Batu 6 di Kuching baru-baru ini yang disebabkan pergerakan air hujan yang tidak lancar.
Katanya, pergerakan air hujan dihadang oleh pasir, tanah dan sampah sarap yang terkumpul di dalam parti.
“Justeru saya menggesa Majlis Perbandaran Padawan dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan bertindak segera memastikan sistem perparitan dalam keadaan sempurna,” kata Kong. — DayakDaily