Pickleball sebagai acara demo Sukma 2024 di Sarawak?

Antara aksi pertandingan pickleball yang diadakan di Kuching.

KUCHING, 23 Disember: Pickleball yang merupakan satu sukan yang semakin popular pada masa ini mungkin boleh disenaraikan sebagai satu acara di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak.

Menurut Bekas Pengurus Bahagian Pembangunan Sukan Sarawak Ahmad Rodzli Hashim, sukan pickleball mungkin boleh diperkenalkan sebagai satu acara demo.

“Kita boleh mempromosi sukan ini pada Sukma yang bakal diadakan di Sarawak tahun hadapan, mungkin kita berpeluang mengadakannya sebagai acara demo.


“Dan sekurang-kurangnya ada lapan negeri yang mengambil bahagian. Sekarang negeri yang sudah terlibat dengan sukan ini ialah Sarawak, Pulau Pinang Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Johor dan Melaka,” katanya ketika ditemui semalam.

Rodzli memberi penerangan berhubung sukan pickleball ketika ditemui di Kuching.

Rodzli yang kekal aktif dalam pembangunan sukan negeri menyifatkan pickleball memiliki masa depan yang cerah untuk dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Justeru katanya, promosi termasuk penganjuran klinik, demo dan pertandingan harus diadakan secara agresif agar boleh menarik minat pemain khususnya golongan muda.

Katanya, program pembangunan hendaklah disusun dengan komprehensif bagi meningkatkan sukan pikleball.

“Kalau kita berjaya mengadakannya sebagai acara demo pada Sukma nanti, ini akan menjadi pembuka mata kepada badan badan sukan.

“Mungkin pada penganjuran Sukma tahun 2026 atau 2028 sukan ini boleh menawarkan pingat.

“Sukma 2026 di Kuala Lumpur dan Kelantan pada tahun 2028 adalah masa yang sesuai untuk memperomosikan pickleball,” ujar Rodzli.

Dalam pada itu beliau berkata pickleball mula dimainkan di Kuching pada tahun 2019 setelah ia bermula di Miri.

Disebabkan masalah Covid-19 katanya, perkembangan sukan tersebut tergendala dan hanya dimainkan semula pada tahun 2022.

“Kini sukan pickleball di Kuching bergerak pantas, banyak pemain telah melibatkan diri dalam sukan ini.

“Banyak juga kelab kelab pickleball telah ditubuhkan,” ujar Rodzli. — DayakDaily