‘PIBG penting untuk meningkatkan pembangunan pendidikan di sekolah’

Jugah (lima dari kiri) merakamkan kenangan bersama tuai rumah dan para guru SK Ridan.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 29: Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang mengingatkan ibu bapa agar sentiasa komited mengutamakan pendidikan kerana ilmu pengetahuan merupakan aset yang amat berguna kepada anak-anak mereka.

“Hanya melalui pendidikan sahaja mampu mengubah taraf hidup sama ada anak-anak itu sendiri mahupun keluarga mereka.


“Masalah kemiskinan di luar bandar juga boleh diselesaikan melalui pendidikan,” katanya di Majlis Pra Gawai Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Ridan, Lubok Antu semalam.

Beliau menasihatkan ibu bapa agar mengutamakan pendidikan dengan sedaya-upaya menghantar anak-anak ke sekolah kerana sekolah merupakan gelanggang untuk menimba ilmu pengetahuan demi menjamin kehidupan generasi masa akan datang.

Di samping itu, Jugah memuji sikap para guru terutama yang berkhidmat di sekolah luar bandar yang komited mendidik anak-anak.

Walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan, guru-guru ini sentiasa memberi yang terbaik agar anak-anak mendapat pendidikan secukupnya.

“Justeru, untuk merealisasikan hasrat dan wawasan pendidikan maka salah satu mekanisme yang dapat dilaksanakan ialah dengan merapatkan hubungan sekolah dengan ibu bapa melalui PIBG.

“Peranan ibu bapa, guru dan masyarakat setempat harus sentiasa terjalin dan kukuh. Hubungan permuafakatan ini mewujudkan persefahaman dan perkongsian bijak demi kebaikan bersama,” kata Jugah.

Pada majlis itu, Jugah mengumumkan peruntukkan sejumlah RM20,000 untuk membaikpulih Dewan Makan SK Ridan dan RM20,000 untuk membeli almari baru untuk keperluan pelajar yang tinggal di asrama sekolah.

Beliau juga turut memberi peruntukkan RM56,000 kepada 11 MPKK di sekitar SK Ridan untuk kegunaan aktiviti dan membangunkan Tabika Kemas.

Lebih 500 orang tetamu yang terdiri daripada masyarakat setempat dan tuai rumah-tuai rumah menghadiri majlis tersebut.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Lubok Antu Jim Andrew Janggi, Pegawai Bomba Gemong Batu dan para guru SK Ridan. — DayakDaily