KUCHING, 11 Dis: Pasukan New Zealand, Afrika Selatan, Nigeria dan Samoa akan beraksi di Kuching bagi pusingan awal Piala Dunia Wanita U19 Kriket T20 Malaysia 2025 mulai 18 Januari ini.
Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, semua perlawanan peringkat awal yang melibatkan kumpulan C itu akan berlangsung di Padang Kriket Borneo di Petra Jaya.
“Sarawak akan menjadi gelanggang kepada 10 daripada jumlah keseluruhan 42 perlawanan Piala Dunia Kriket U19 Wanita.
“Ia termasuk perlawanan pusingan kedua ‘super six’ yang melibatkan 3 pasukan teratas dari kumpulan B dan C.
“Semua perlawanan akan disiarkan secara langsung di levih 180 negara menerusi star sports channel,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.
Pasukan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama juara bertahan India, Sri Lanka dan India Barat.
Kumpulan B pula melibatkan England, Pakistan, Ireland dan USA. Manakala Kumpulan D ialah Australia, Bangladesh, Nepal dan Scotland.
Selain Kuching, tiga lagi gelanggang yang digunakan ialah UKM Cricket Oval di Bangi, Bayuemas Cricket Oval di Klang dan Dato Dr Harjit Singh Johor di Johor Bahru.
Sementara itu Abdul Karim memaklumkan bahawa bangunan Padang Kriket Borneo yang sedang dalam pembinaan dijangka siap penghujung Disember ini.
Bangunan yang menyediakan pelbagai kemudahan dengan kos RM6.5 juta itu kini sudah 77 peratus siap.
“Kita menerima tawaran sebagai venue Piala Dunia U19 Wanita ini pada Ogos lepas.
“Padang memang sudah ada, yang digunakan semasa Sukma lepas. Kerja pembinaan bangunan bermula pada Oktober.
“Ini adalah kali kedua Sarawak menjadi venue kepada acara sukan peringkat dunia, selepas Piala Dunia Remaja Bolasepak 1997,” kata Abdul Karim. ā DayakDaily