PH Sarawak mahu SPRM meningkatkan bilangan kakitangan di Sarawak

Chong (berdiri tengah) ketika berucap di Konvensyen Biasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Ke-18, di Kuching.

KUCHING, Nov 4: Pakatan Harapan (PH) Sarawak mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menempatkan sekurang-kurangnya 20 peratus dari keseluruhan 100 kakitangan tambahannya tahun hadapan di Sarawak.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen berkata demikian berikutan dalam belanjawan 2019 telah ada diumumkan SPRM akan mendapat pertambahan peruntukan kewangan sebanyak 20 peratus dan tambah kakitangan seramai 100 orang tahun depan bagi menjalankan penyiasatan kes rasuah dan aduan rasuah di negara ini.

“Saya berharap 20 peratus dari seramai 100 kakitangan tambahan terbabit selepas dilantik (SPRM) tahun depan akan dihantar bertugas di Sarawak,” katanya ketika berucap di Konvensyen Biasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak Ke-18, di Crown Tower, di sini, hari ini.

Chong berkata pertambahan 20 peratus atau seramai 20 orang kakitangan suruhanjaya itu di Sarawak adalah perlu supaya dapat mempercepatkan siasatan terhadap ahli politik yang rasuah di negeri ini.

Sementara itu, mengenai kewajipan semua menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen PH mengsitiharkan harta dimiliki mereka dengan SPRM dan didedahkan kepada umum, Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna menafikan beliau masih belum menghantar pengistiharan hartanya kepada suruhanjaya itu.

“Saya mahu membuat pembetulan, saya sudah menghantar pengistiharan saya sebelum tarikh akhirnya. Tapi saya rasa SPRM masih memproses maklumat itu dan sebab itu ianya tidak disiarkan dalam kumpulan pertama pengistiharan terbabit,” katanya.

Katanya semua Ahli Parlimen DAP Sarawak sudah menghantar pengistiharan berkenaan kepada SPRM dan mereka tiada apa-apa yang hendak disembunyikan dari orang ramai.

“Kalau kamu (ahli DAP) mahu, kami juga boleh mendedahkan (pengistiharan harta) itu kepada umum melalui akhbar tempatan, tiada masalah, kami tiada apa hendak disembunyikan,” katanya.

Tinjauan ke laman web Portal Pengistiharan Harta SPRM di https://mydeclaration.sprm.gov.my/ petang ini mendapati keseluruhannya seramai 94 orang Ahli Parlimen PH sudah disiarkan pengistiharan harta mereka di portal itu dengan tujuh orang adalah dari Sarawak.

Mereka ialah Ahli Parlimen Selangau yang juga Menteri Kerja Raya, Baru Bian dan isteri dengan pendapatan sebanyak RM83,736.48, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin dan isteri ( RM26,450) dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong dan suami (RM28,700).

Seterusnya Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang @ Tambat (RM25,700), Ahli Parlimen Julau, Larry Soon@ Larry Sng Wei Shien dan isteri (RM59,065.39), Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew dan isteri (RM26,100) dan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu (RM41,700). — DayakDaily