Tiga geng curi kabel lampu diberkas

Kelihatan gulung kabel lampu yang dirampas oleh polis.

Oleh Dean Adam

BINTULU, Nov 4: Tiga geng curi kabel lampu jalan berjaya ditahan dalam satu operasi di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, semalam.

Ketiga-tiga suspek yang masing-masing berusia 16 hingga 24 tahun itu ditangkap sepasukan anggota polis kira-kira pukul 4.30 petang.

Menurut sumber, pemeriksaan lanjut menjumpai 11 gulung kabel lampu yang disembunyikan oleh suspek di dalam sebuah kenderaan di situ.

Katanya, kejayaan tangkapan itu dipercayai berjaya menyelesaikan kes kecurian kabel lampu di laluan berkenaan.


“Ketiga-tiga suspek akan ditahan reman untuk siasatan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Zulkipli Suhaili mengesahkan menerima laporan penahanan ketiga-tiga suspek berkenaan.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman sehingga November 7 depan bagi siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” ujarnya. — DayakDaily