PGA Sarawak rampas rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM1.4 juta di Kuching

Kinsi (empat dari kanan) mempamerkan sebahagian barang rampasan di sidang media di Kuching hari ini (Dis 9, 2019).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Dis 9: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas 7,650 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM1,453,500 yang ditemui di dalam sebuah gudang kosong di Batu Kitang, Kuching semalam.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 11 PGA Sarawak, DSP Kinsi Bilu berkata, bertindak atas maklumat Op Libas, sepasukan anggota PGA dengan dibantu dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak telah menyerbu gudang tersebut pada jam 2 petang.


“Sebanyak 7,650 karton rokok pelbagai jenis yang disembunyikan di gudang tersebut berjaya ditemui dan disyaki belum lulus kastam.

“Kami mengesyaki pemilik atau penjaga premis tersebut berjaya melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di kem Batalion 11 PGA Batu Kawa hari ini.

Tambah beliau, barangan yang dirampas dipercayai diseludup dari negara jiran dan akan dipasarkan di pasaran tempatan.

Kes itu telah diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan dan maksimum 20 kali ganda nilai barangan atau dipenjara tidak lebih 3 tahun. — DayakDaily