PGA Sarawak gagalkan cubaan seludup 23 PATI dan tangkap 6 tekong darat sejak 1 April

Tangkapan membabitkan seorang tekong wanita warga Indonesia di Bau.
Advertisement

Oleh Juetila Ozzy

KUCHING, 9 April: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merekodkan beberapa kejayaan melibatkan tangkapan dan rampasan terhadap kegiatan penyusupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi tempoh 1 hingga 9 April.

Komandernya SAC Mancha Ata berkata seramai 27 warga negara Indonesia dan dua warga tempatan ditangkap dalam operasi melibatkan tangkapan tekong darat.

Advertisement

“Kes terbaru direkodkan semalam (8 April), di mana anggota kita telah menahan sebuah lori kargo di jalan sawit di Lachau, Sri Aman dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 10 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia bersembunyi di dalam ruang kargo lori.

“Didapati juga dua lelaki warga tempatan yang memandu serta penumpang bahagian hadapan lori bertindak sebagai tekong,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Jelasnya, kesemua mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu pada hari yang sama (8 April) pasukan kita juga menahan sebuah kenderaan mencurigakan di Jalan Kampung Selampit, Lundu dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat tiga PATI dan seorang lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai tekong.

“Keempat mereka kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Mancha selain itu turut memberitahu pihaknya telah menahan tiga warga negara Indonesia termasuk seorang wanita yang bertindak sebagai tekong darat.

“Kes pertama ialah pada 6 April, di mana pasukan kita telah menahan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) di Kampung Raso, Lundu dan mendapati terdapat tiga warga Indonesia termasuk pemandu (tekong).

“Siasatan awal mendapati PATI tersebut masuk ke Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan di Ladang Sawit Kawasan Kampung Raso yang kemudiannya akan diambil oleh Tekong yang menunggu di sempadan,” katanya.

Dua kes lagi dilaporkan pada 7 dan 8 April iaitu di Jalan Pejiru Padang Pan-Gumbang,Bau dan Jalan Bunan Gega, Serian.

“Kes kedua membabitkan tekong warga asing ialah di Padang Pan, di mana pasukan kita telah menahan sebuah kereta dan hasil pemeriksaan mendapati ia dipandu seorang wanita warga Indonesia (tekong).

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lima lelaki warga Indonesia yang didapati memasuki Sarawak melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Manakala kes ketiga juga membabitkan tekong Indonesia ialah di Bunan Gega, di mana pasukan kita telah menahan serbuah kereta dan didapati dipandu seorang lelaki Indonesia (tekong) dengan membawa empat PATI,” katanya.

Mancha menyeru masyarakat terutama penduduk kampung yang berada berhampiran sempadan agar berganding bahu bersama pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan kemasukan PATI ke negeri ini serta mengesa supaya mereka jangan terlibat atau bersekongkol dengan membawa masuk PATI ke negeri ini.

“Sesiapa yang didapati terlibat dengan aktiviti membawa masuk atau menjadi tekong boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali,” tegas Mancha. — DayakDaily

 

Advertisement