PGA rampas minuman keras, rokok bernilai RM76,260

Pasukan PGA merampas kotak yang dipercayai terdapat rokok dan minuman keras di Limbang.

Oleh Dean Adam

LIMBANG: 6 Dis: Batalion 12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri berjaya merampas minuman keras dan rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM76,260 dalam satu serbuan di kawasan belukar Sungai Rpr, Rangau, di sini awal pagi tadi.

Jurucakapnya berkata, bertindak atas maklumat pada pukul 4 pagi, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Cawangan Risik telah membuat pemantauan di kawasan berkenaan.


Katanya, pemeriksaan lanjut menemui sejumlah kotak rokok pelbagai jenama dan beberapa kotak minuman keras pelbagai jenama di kawasan itu.

“Selepas dua jam pemantauan dilakukan, didapati tiada pemilik barang-barang itu kelihatan di kawasan tersebut.

“Jadi, sekitar pukul 6.20 pagi, pasukan Batalion 12 PGA kemudian melakukan rampasan ke atas barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelihatan kotak yang dirampas oleh pasukan Batalion 12, PGA, di Limbang.

Jurucakap sama menambah, kesemua barangan rampasan telah ditahan di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

“Rampasan kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Limbang untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily