Petros sebagai gas aggregator tunggal tidak dibincangkan

Dato Sri Julaihi Narawi
Advertisement

KUCHING, 13 Nov: Perbincangan dengan PETRONAS tidak melibatkan sebarang perbincangan mengenai pelantikan Petros sebagai Gas Aggregator.

Justeru jelas Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, pelantikan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai Gas Aggregator tunggal adalah non-negotiable.

“Bermakna tidak ada Gas Aggregator lain di Sarawak melainkan Petros sahaja.

Advertisement

“Kerajaan Sarawak melalui Petros masih dalam peringkat perbincangan teknikal dengan PETRONAS untuk memastikan segala keperluan di bawah Ordinan dipatuhi,” katanya pada sesi pertanyaan di Persidangan Dewan Undangan Sarawak (DUS) hari ini.

Tambah Julaihi, Distribution of Gas Ordinance, 2016 (DGO 2016) pada tahun 2023 telah dilaksanakan dengan pelantikan Petros sebagai Gas Aggregator tunggal di Sarawak.

Pelantikan Petros sebagai Gas Aggregator tunggal berkuatkuasa pada 1 Februari 2024.

“Pelantikan Petros ini akan mempercepatkan pembangunan Sarawak Gas Roadmap (SGR).

“Ini dijangka akan mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi untuk rakyat Sarawak.

“Ia juga akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak sebanyak 8 peratus setahun,” ujar Julaihi. — DayakDaily

Advertisement