Petra Jaya: Calon PKR tidak gentar bersaing dengan nama besar dari BN

Datuk Nor Irwan Ahmat Nor

KUCHING, April 29: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Parlimen Petra Jaya, Datuk Nor Irwan Ahmat Nor menyifatkan beliau tidak gentar untuk bertanding di kerusi yang disandang calon Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Fadillah Yusuf dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mei 9 depan.

Doktor Falsafah Kejuruteraan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu memberitahu, dirinya tidak merasa bimbang dengan saingan daripada BN kerana beliau sudah turun padang sejak tahun lalu lagi.

Malah, bekas Pegawai Penyelidik di UTM dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Tun Hussein Onn tersebut yakin dengan sokongan masyarakat setempat khususnya para pengundi muda.


“Saya meletakkan sasaran 60 peratus pengundi muda di Parlimen Petra Jaya dan kami yakin sokongan yang akan diterima di sini.

“Sehubungan itu, saya tidak gentar dengan saingan daripada BN dan PAS kerana kami telah meletakkan strategi dan sasaran bagi meraih sokongan pengundi,” katanya di sini hari ini.

Bekas jurulatih silat itu memberitahu, beliau juga menganggap penampilan dirinya kali ini disifatkan sebagai ‘sirih pulang ke gagang’ bagi berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Saya tidak takut untuk bersaing pada pilihan raya ini meskipun berdepan dengan nama besar seperti calon BN (Fadillah).

“Saya mahu kawasan Parlimen Petra Jaya ada wakil daripada Pakatan Harapan.

Parlimen Petra Jaya mempunyai 58,009 pemilih berdaftar.

Ia mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Satok, Samariang dan Tupong. ā€” DayakDaily