Mukah: PKR sedia mencabar BN

Abdul Jalil (tiga dari kanan) semasa hari penamaan calon bagi Parlimen Mukah. Hanifah berdiri tiga dari kiri.

MUKAH, April 29: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Mukah, Abdul Jalil Bujang yakin pakatan pembangkang akan memberi saingan hebat kepada Barisan Nasional (BN) khususnya di Mukah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Abdul Jalil memberitahu, isu yang diperjuangkan kali ini ialah projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian baharu serta projek rawatan air bersih di Balingian.

Sehubungan itu katanya, dia berharap para pengundi di kawasan Parlimen tersebut memberi sokongan kepada Pakatan Harapan untuk membantu memperjuangkan kepentingan rakyat di situ.


“Sokongan rakyat amat penting jika mereka ingin melihat kemajuan serta pembangunan yang berterusan di Mukah.

“Wakil rakyat pembangkang yang kuat juga diperlukan bagi bertindak dengan lebih baik sebagai semak dan imbang kepada kerajaan,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Jalil yang telah bertanding dalam pilihan raya sebanyak tiga kali juga mendakwa pakatan pembangkang yang memulakan usaha ke arah mendapatkan hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian yang mengesyorkan supaya tarikh Julai 22 diisytiharkan sebagai Hari Sarawak sebelum ini sebelum dipersetujui oleh kerajaan negeri ini,” ujarnya lagi.

Abdul Jalil akan berdepan pertembungan satu lawan satu di Mukah iaitu menentang calon BN, Datuk Hanifah Hajar Taib. ā€” DayakDaily