Peserta ISES digesa menyumbang idea, pengetahuan untuk membangunkan ekonomi digital Sarawak

Uggah (tengah) memberi sijil penghargaan kepada wakil organisasi yang membantu menganjurkan ISES 2018 di Majlis Makan Malam Gala ISES 2018.
Advertisement

KUCHING, April 11: Kerajaan negeri meminta seramai 800 peserta Persidangan Kemuncak Tenaga Kelestarian Antarabangsa Ke-4 (ISES) 2018 supaya menyumbangkan idea dan pengetahuan mereka bagi membantu membangunkan ekonomi digital negeri ini mengunakan sumber tenaga boleh diperbaharui.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ketibaan mereka dari seluruh pelusuk dunia ke bandaraya ini bagi menyertai persidangan itu adalah tepat pada masanya berikutan negeri ini baru saja melancarkan Strategi Digital Sarawak 2018-2022 bagi melonjakkan pembangunan ekonomi digital negeri ini.

“Maka, sikap tidak mementingkan diri dalam berkongsi pengetahuan dan idea dengan murah hati dikalangan kamu (peserta ISES 2018) sepanjang acara dua hari ini tidak hanya memberi manfaat kepada diri kamu sahaja tetapi juga menjadi satu sumbangan yang besar kepada negeri ini dalam perjalanan kita bersama sepanjang menuju ke arah ekonomi digital,” katanya ketika Majlis Makan Malam Gala ISES 2018 dengan ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mewakilinya, di sini, semalam.

Advertisement

Persidangan tersebut yang bermula semalam adalah dianjurkan bersama Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia dengan Kementerian Utiliti Sarawak dan negeri ini menjadi tuan rumah persidangan itu bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Abang Johari berkata masa hadapan negeri akan menjadi menarik dengan anak Sarawak sedang melihat kearah mengamalkan Transformasi Ekonomi Digital yang akan memerlukan banyak sumber tenaga.

“Kami memerlukan tenaga bagi memberikan kuasa kepada ekonomi digital dan tidak ada tenaga yang lebih baik selain dari tenaga boleh diperbaharui. Pertumbuhan sektor tenaga boleh diperbaharui akan seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi kami,” katanya.

Katanya ini kerana ekonomi yang mempunyai banyak sumber tenaga lestari itu seperti Sarawak adalah ekonomi yang mempunyai potensi terbaik bagi pertumbuhan mampan dalam jangka masa panjang.

Sehubungan itu, beliau berharap peserta antarabangsa persidangan terbabit dapat kembali melawat negeri dalam di masa hadapan supaya mereka dapat merasai pengalaman ekonomi digital yang akan dibangunkan di Sarawak. — DayakDaily

Advertisement