Tiga individu tercedera dalam nahas dua Toyota Hilux

Keadaan kemalangan melibatkan dua buah Toyota Hilux.

MUKAH, April 11: Tiga individu berdepan detik mencemaskan apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah Toyota Hilux di Jalan Telian-Mukah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, tiga mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Johan Sahadan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.54 pagi.


Katanya, sebaik menerima laporan berhubung kemalangan itu, enam anggota bomba kemudian dikerahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati ketiga-tiga mangsa telah keluar dari kenderaan tersebut.

“Anggota bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Johan menambah, anggota bomba kemudian membuat ‘flushing’ di tempat kejadian bagi membersihkan laluan kemalangan tersebut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.26 pagi selepas keadaan di lokasi kejadian selamat,” ujarnya lagi. — DayakDaily