Jangan salaguna baucer pakaian seragam — Jamilah

Jamilah (dua dari kiri) melakukan penyerahan simbolik baucer pakaian seragam.

LUNDU, April 11: Seramai 90 orang pelajar sekolah telah menerima baucer pakaian seragam sekolah sumbangan Yayasan Sarawak di sini semalam.

Penerima baucer itu terdiri daripada 75 orang pelajar sekolah rendah dan 15 orang pelajar sekolah rendah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu yang terpilih daripada ahli isi rumah yang berdaftar di dalam pangkalan data e-Kasih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat soal kebajikan anak-anak sekolah di negeri ini.


Oleh yang demikian katanya, kerajaan negeri telah menaikkan kadar nilai baucer tersebut daripada RM100 kepada RM200 bagi meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan pakaian seragam sekolah untuk anak-anak.

“Saya ingin merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan Yayasan Sarawak kerana telah memberi sumbangan baucer kepada pelajar-pelajar sekolah di kawasan DUN Tanjong Datu.

“Usaha sebegini adalah merupakan salah satu contoh konsep ‘hybrid’ di mana ia membabitkan penglibatan bersama dan juga bersepadu antara pihak Yayasan Sarawak bersama Pejabat Residen dan juga Pejabat Pendidikan Daerah sebagai salah satu inisiatif pembangunan pendidikan di negeri ini,” katanya ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis Penyerahan Baucer Pakaian Seragam Sekolah sumbangan Yayasan Sarawak di sini semalam.

Dalam pada itu Jamilah menyeru ibu bapa pelajar agar menggunakan baucer tersebut dengan sebaik mungkin.

Katanya, ia penting untuk mendapatkan pakaian seragam sekolah dengan kuantiti dan kualiti yang setimpal dengan nilai baucer tersebut.

“Jangan salahguna baucer yang disediakan oleh pihak kerajaan menerusi Yayasan Sarawak ini.

“Gunakanlah untuk membeli barangan untuk keselesaan anak masing-masing,” katanya lagi.

Turut disampaikan pada majlis tersebut adalah penyampaian geran projek kecil luar bandar (MRP) kepada organisasi-organisasi terpilih di kawasan Tanjong Datu dan juga Baucer Buku Latihan Tubi 2018 kepada SMK Lundu dan juga SMK Sematan.

Antara yang hadir pada majlis tersebut adalah Pengarah Yayasan Sarawak, Azmi Bujang,Pegawai Daerah Lundu, Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Pegawai Pendidikan Daerah Lundu Poniman Bejok. — DayakDaily