Pesara Pos Malaysia rugi hampir RM3,000 ditipu ‘Macau Scam’,

Royal Malaysia Police logo

Oleh Dean Adam

KUCHING, Okt 13: Seorang pesara Pos Malaysia Bhd kerugian sebanyak RM2,998.74 selepas disyaki terpedaya dengan sindiket penipuan ‘Macau Scam’, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kes melibatkan lelaki berusia 64 tahun tersebut dilaporkan di Kuching dan berlaku semalam.


Menurutnya, berdasarkan laporan polis, mangsa telah menerima panggilan telefon dari nombor talian 03-92125972 kononnya menyamar sebagai pegawai Citi Bank bernama Khoo Jai Jie.

“Pegawai tersebut kemudian memberitahu kad visa Citi Bank No.4636706127861662 atas nama mangsa telah digunakan di Maybank Puchong RM6,000.

“Suspek juga mengatakan mangsa ada memiliki beberapa kad bank iaitu Maybank, CIMB, Hong Leong Bank, Public Bank dan BSN,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, suspek juga bertanya jumlah wang yang dimiliki mangsa sebelum pesara terbabit memaklumkan jumlah wang dalam akaunnya kepada suspek.

Katanya, suspek sama juga mengugut terdapat orang lain menggunakan nama mangsa untuk memohon kad kredit.

“Kemudian suspek meminta mangsa ke bank CIMB sebelum mengarahkan mangsa menukar nombor pin kad bank miliknya.

“Mangsa telah mengikut semua arahan yang diberikan oleh suspek sebelum mendapati wang RM2,998.74 telah dipindahkan ke akaun BSN nombor 1312041000068391,” ujarnya lagi. — DayakDaily