Kerani wanita lesap RM5,000 ditipu kenalan Facebook

PDRM logo.

SIBU, Okt 13: Angkara terpedaya dengan janji-janji manis kenalan Facebook yang kononnya mengirimkan pelbagai ‘hadiah’ istimewa, seorang wanita lesap wang sebanyak RM5,000 akibat ditipu sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata kes tersebut melibatkan seorang wanita berusia 27 tahun dan bekerja sebagai kerani syarikat swasta.

Jelas beliau, mangsa telah ditipu malah mengalami kerugian sebanyak RM5,000 dalam satu kejadian pada 7 Okt lalu, namun hanya membuat laporan polis berhubung kes itu, semalam.


“Berdasarkan laporan diterima, mangsa berkenalan dengan seorang lelaki kononnya dari luar negara yang bernama Leng Paul.

“Seterusnya kenalan Facebook tersebut meminta mangsa untuk menghubunginya melalui WeChat dan sejak itu mereka saling berbalas mesej,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, pada 11 Okt lepas, suspek mengatakan telah menghantar satu kotak berisi pelbagai barang yang akan dikirimkan kepada mangsa sebagai tanda perkenalan mereka.

Katanya, suspek telah memberitahu bungkusan kotak yang dihantar itu mengandungi sejumlah wang tunai dari luar negara dan barangan lain seperti jam tangan HD Sony Camera Iphone7, Iphone 8 mini ipad, Samsung Tab 4, Apple laptop, Samsung Galaxy XS, 1 set Diamond Jewelries Gold, LV Hand Bag (tiga jenis warna yang berbeza) dan dua botol Classic Perfume.

“Sehari selepas itu, mangsa telah terima satu pesanan WhatsApp dari nombor telefon yang tidak dikenali meminta mangsa memasukkan wang tunai sebanyak RM5,000 sebagai urusan untuk membawa masuk bungkusan hadiah tersebut.

“Pada hari yang sama (semalam) mangsa telah memasukkan wang tunai sebanyak dua kali ke nombor akaun [yang diberi oleh suspek],” katanya.

Sambil menambah, mangsa yang menyedari telah terpedaya selepas kotak hadiah yang dijanjikan itu tidak diterima kemudian bertindak membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily