BINTANGOR, Sept 26: Malang menimpa seorang pesara penjawat awam apabila dia menemui ajal dalam satu kemalangan di Jalan Paradom di sini lewat petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu mengakibatkan mangsa, Muhamad Seman, 60, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan yang dialaminya.
Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian, mangsa yang memandu kereta Perodua Kancil dikatakan dalam perjalanan ke pusat bandar Sibu.
Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori membawa muatan minyak.
“Pertembungan itu telah menyebabkan kereta mangsa terhumban masuk ke dalam sebuah parit di bahu jalan berkenaan.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi selepas dimaklumkan kejadian itu kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama memberitahu, pemandu lori minyak yang berusia 32 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa yang pernah bekerja di Pejabat Daerah Sarikei kemudian dibawa ke hospital untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” ujarnya. — DayakDaily