Pusat Konvensyen dan Hotel Tabung Haji siap dibina, sedia dilancarkan

Chan (tiga dari kanan) bersama Safri (dua dari kiri) dan kaunselor MBKS melihat gambar bangunan THHCC yang memenangi dua anugerah antarabangsa tahun lepas selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MBKS, di Bangunan MBKS, Jalan Padungan, Kuching.

KUCHING, Sept 26: Pusat Konvensyen dan Hotel Tabung Haji (THHCC) yang rekaan bangunannya berjaya memenangi dua anugerah hartanah antarabangsa tahun lepas kini sudah siap pembinaannya dan sedia dilancarkan pembukaannya di Jalan Lapangan Terbang Kuching, di sini.

Pengarah Urusan PU Architects Sdn Bhd, Ar. Safri Mohammed berkata demikian dengan THHCC terdiri dari hotel empat bintang dengan sebanyak 246 bilik dan dewan konvensyen yang boleh memuatkan 1,090 orang tetamu selain kemudahan lain seperti ruang pejabat, restoran, pusat perniagaan, bilik persidangan, dan kolam renang berasingan bagi lelaki dan wanita.

“Kami (arkitek projek) kini hanya menunggu pemiliknya (Lembaga Tabung Haji) untuk memberikan notis bila mereka mahu melancarkan (pembukaan) THHCC,” katanya ketika mempamerkan gambar rekaan bangunan THHCC tersebut kepada Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato James Chan Khay Syn selepas mesyuarat penuh MBKS, di Bangunan MBKS, Jalan Padungan, di sini, semalam.


THHCC yang sudah siap dibina dan sudah bersedia bagi dilancarkan pembukaanya telah memenangi dua anugerah antarabangsa tahun lepas.

THHCC di atas tanah seluas 6.16 ekar di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching telah dibangunkan dengan kos sebanyak RM204 juta dan mula pembinaanya pada April 20, 2015 dan siap dalam tempoh 36 bulan dan menerima Permit Menduduki pada Julai 17 lepas.

Safri berkata antara ciri menarik bangunan THHCC berkonsepkan budaya tempatan Sarawak dengan memiliki corak kain pua kumbu pada luar dinding bangunannya.

“Dengan rekaan yang menarik ini THHCC telah berjaya memenangi dua anugerah hartanah antarabangsa pada tahun lepas,” katanya.

Katanya yang pertama ialah Anugerah Hartanah Asia Pasifik 2017/2018 bagi Kategori Rekaan dan Pembinaan Hotel Baru Terbaik di Bangkok, Thailand pada Mei tahun lepas dan kedua ialah Anugerah Hartanah Antarabangsa bagi kategori yang sama di London, pada Disember tahun lepas. — DayakDaily