Pesara dari Marudi rugi RM1.19 juta, ditipu ‘Macau Scam’

Supt Maria Rashid

MARUDI, 14 April: Seorang pesara kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM1.19 juta selepas menjadi mangsa kes penipuan sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak Supt Maria Rasid berkata wanita berusia 60an itu terdahulunya menerima panggilan dari seorang wanita yang kononnya dari sebuah syarikat insuran dan takaful sekitar Oktober tahun lepas.

Katanya, mangsa melaporkan wanita terbabit mendakwa dia ada membuat tuntutan insuran perubatan di Hospital Kuala Lumpur sebanyak empat kali.

“Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut sehingga panggilan dia disambungkan kepada seorang lelaki yang kononnya anggota polis berpangkat Sarjan dari Balai Polis Pudu.

“Suspek yang kononnya polis itu memberitahu mangsa perlu membersihkan namanya kerana telah membuat tuntutan palsu dan dia kemudian disambung lagi dengan seorang suspek yang dikatakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah.

“Mangsa kemudian diarahkan menghubungi seorang lagi suspek wanita yang kononnya pegawai polis dari Bukit Aman dan ketika itu mangsa juga telah diarahkan membuka satu akauan bank baharu untuk siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, mangsa yang menafikan ada membuat tuntutan insuran palsu itu kemudian menuruti arahan yang diberikan.

“Selesai membuka akaun baharu, dia kemudian diarahkan mendaftarkan perbankan dalam talian dan akaun didaftarkan dengan nombor baharu yang diberikan suspek.

“Mangsa kemudian diarahkan memindahkan kesemua wang simpanan, ASB dan wang pinjaman keseluruhan berjumlah RM1.19 juta ke akaun baharu tersebut,” katanya.

Mangsa mengikut arahan yang diberikan dan hanya menyedari dirinya ditipu semalam dan terus membuat laporan polis.

“Manga hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan akaun banknya dan mendapati kesemua RM1.19 juta wang itu telah tiada.

“Hasil semakan mendapati kesemua wangnya itu telah dipindahkan ke sembilan akaun atas nama individu tidak dikenali melalui 52 transaksi pada 28 dan 29 Oktober,” katanya.

Siasatan lanjut polis berhubung kes tersebut masih dijalankan. — DayakDaily