Pesara askar hilang, jatuh dari bot ketika memancing di Sg Skrang

Anggota Bomba tiba di lokasi kejadian.

BETONG, 3 Feb: Seorang pesara askar dilaporkan hilang selepas dikatakan terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Skrang, Kampung Lidong Betong hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.36 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian didapati benar kejadian tersebut berlaku dan maklumat lanjut berkenaan kejadian telah diperolehi daripada abang mangsa.


“Mangsa bersama abangnya memancing di sungai tersebut dan mangsa dikatakan terjatuh dari bot.

“Anggaran jarak mangsa jatuh adalah kira-kira 1 kilometer daripada pangkalan rumah panjang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pencarian oleh pihak Bomba belum dapat dibuat memandangkan keadaan air surut dan hari gelap.

Operasi ditangguh pada jam 8.40 malam dan akan disambung esok.

Mangsa yang hilang dilaporkan berusia 49 tahun.

Hadir sama di lokasi kejadian adalah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). — DayakDaily