Motorsikal hilang hampir 7 bulan ditemui susulan penahanan dua lelaki

Salah seorang suspek membawa anggota JSJ ke sebuah lokasi di Kampung Beraya tempat motorsikal terbabit disembunyikan.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Feb: Hampir tujuh bulan selepas sebuah motorsikal jenis Modenas Kriss dilaporkan hilang, pihak polis pagi ini telah menemui kenderaan tersebut susulan penahanan dua lelaki warga tempatan.

Kedua-dua suspek berusia 30 dan 33 tahun itu ditahan di sekitar bandar Miri oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri dalam operasi dinamakan Ops Lejang.


Tangkapan dilakukan sekitar jam 9 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari, dalam operasi tersebut pihak JSJ menemukan motorsikal yang telah dilaporkan hilang disyaki dicuri di kawasan Kampung Beraya.

Terdahulu, dilaporkan motorsikal tersebut telah hilang ketika diparkirkan di dalam sebuah pondok di Jalan Riam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily