Pesakit bukan kecemasan dinasihat mendapatkan rawatan di 6 buah klinik kesihatan di Bandaraya Kuching

Dr Ooi Choo Huck. Photo courtesy of Ministry of Health
Advertisement

KUCHING, 26 Feb: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak memaklumkan notis telah dikeluarkan pada 22 Februari lepas berhubung isu mengenai kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD), Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck berkata, ia termasuk usaha memindahkan kes bukan kecemasan ke klinik kesihatan berdekatan.

“Ianya bertujuan untuk menghebahkan kepada orang awam dan pesakit bukan kecemasan supaya mendapatkan rawatan dengan cepat dan mudah di klinik kesihatan.

Advertisement

“Ini secara langsung membantu pesakit kes kecemasan dirawat dengan lebih rapi oleh para petugas ETD HUS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr Ooi, pesakit bukan kecemasan yang datang di ETD HUS masih juga akan dirawat oleh petugas perubatan.

Namun katanya, tempoh menunggu untuk diperiksa akan mengambil masa yang lebih panjang dan lama berbanding dengan perawatan di Klinik Kesihatan.

Ini memandangkan pihak ETD HUS perlu memberikan keutamaan perawatan bagi pesakit kes kecemasan terlebih dahulu.

“Pesakit bukan kecemasan boleh mendapatkan rawatan di enam buah klinik kesihatan utama yang terdapat di Bandaraya Kuching,” katanya. — DayakDaily

Advertisement