Peruntukan RM783 juta baik pulih sekolah daif perlu penjelasan — Fazzrudin

Fazzrudin (dua kiri) menyampaikan sumbangan Deepavali kepada salah seorang penerima di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Oktober: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman mahu peruntukan RM783 juta untuk baik pulih sekolah-sekolah di seluruh negara dijelaskan dengan terperinci.

Pada pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam, jumlah RM783 juta itu termasuk Sarawak dan Sabah.


“Terdahulu kita sudah bincang yang peruntukan RM1 bilion untuk baiki sekolah-sekolah daif di Sarawak. Kerajaan Pusat minta Kerajaan Negeri bayar wang pendahuluan RM350 juta dan kita telah pun bayar.

“Peruntukan RM783 juta dalam Belanjawan 2020 ini tidak jelas dan kita mahu penjelasan yang lebih lanjut,” katanya pada Majlis Sumbangan Amal Sempena Hari Deepavali 2019 di Dewan Persatuan India Kuching (IAK) di sini, hari ini.

Lim semalam mengumumkan yang kerajaan akan memberi tumpuan kepada membaik pulih sekolah daif dengan peruntukan sebanyak RM783 juta pada tahun depan, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Justeru, Fazzruddin mahukan perkara ini dibahaskan di parlimen dengan penglibatan ahli-ahli parlimen dari Sarawak.

Secara keseluruhannya, beliau berpendapat kerajaan pusat pimpinan Pakatan Harapan (PH) telah gagal menepati janji kepada rakyat Sarawak.

Katanya, Manifesto PH telah menjanjikan 30 peratus dana pembangunan akan diagihkan kepada Sarawak dan Sabah, tetapi bila dbentangkan jumlah tidak seperti yang dijanjikan.

Pada Belanjawan 2020 peruntukan pembangunan untuk Sarawak hanya RM4.4 bilion berbanding RM5.2 bilion yang diterima oleh Sabah.

Jumlah RM9.6 bilion untuk Sarawak dan Sabah ini hanya 17.1 peratus daripada keseluruhan dana pembangunan dalam Belanjawan 2020.

Pada majlis tersebut, Fazzrudin memperuntukan geran RM3,000 kepada IAK untuk menjalankan aktiviti-aktiviti.

Turut hadir Pemangku Presiden IAK Ratha Perumal dan Penasihat IAK Anthony Ramanair. —DayakDaily