Persatuan India Kuching harap dapat peruntukan dari Mitra

Athmanathan bercakap dengan pemberita di Kuching.

KUCHING, 12 Oktober: Persatuan India Kuching (PIK) berharap mendapat sebahagian daripada RM100 juta yang diperuntukkan kepada Unit Transformasi India Malaysia (Mitra) melalui Belanjawan 2020 yang dibentangkan semalam.

Timbalan Setiausaha PIK, Athmanathan Vengidasalam, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy pernah berkata yang Sarawak dan Sabah termasuk di dalam perancangan tersebut.

“Mitra adalah pertubuhan terbesar yang menjaga kepentingan dan kebajikan masyarakat India di Malaysia, terutama golongan B40. Kerajaan telah melakukan yang terbaik dengan sekali lagi memperuntukkan RM100 juta pada belanjawan 2020 dan pada tahun lepas.

“Kita harap akan ada peruntukan untuk masyarakat India di Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sumbangan Deepavali 2019 di Dewan PIK hari ini.

Pada pembentangan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng semalam, kerajaan sekali lagi memperuntukkan geran sebanyak RM100 juta kepada Mitra.

Ia bertujuan menambah baik sosioekonomi, kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan wanita serta pembangunan kemahiran masyarakat India.

Lim berkata 80 peratus daripada peruntukan itu dikhususkan kepada program yang dilaksanakan dan bukannya kepada organisasi tertentu.

Katanya, kerajaan peka dan prihatin terhadap kesukaran dan cabaran khusus yang dihadapi masyarakat India. — DayakDaily