Peruntukan RM1 juta untuk membina ramp feri di Tg Embang

Penduduk lima kampung di Tanjung Embang mengunakan bot perahu tambang bagi ke bandar raya Kuching.

KUCHING, 30 Ogos: Perkhidmatan feri bagi menghubungkan lima kampung di Tanjung Embang dengan bandar raya Kuching kemungkinan akan dapat mula beroperasi tahun hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata demikian dengan selepas ini pihaknya akan membina kemudahan ramp feri di seberang sungai kawasan Tanjung Embang dengan peruntukan RM1 juta.

“Kalau ramp itu sudah siap baharulah feri boleh mula beroperasi, kemungkinan boleh siap tahun depan. Ini juga bergantung kepada kontraktor dan ujian percubaannya,” katanya ketika menyertai Sesi Libat Urus Program Pertanian Bersepadu Kawasan Tanjung Embang bersama Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Syed Hamzah Syed Paie di Kampung Beradek, di sini, hari ini.


Dr Hazland berkata kemungkinan juga hanya satu feri akan beroperasi bagi menghubungkan kawasan Tanjung Embang dengan bandar raya Kuching berikutan lima kampung di kawasan itu iaitu Kampung Tiang Api, Semilang, Beradek, Sungai Pinang dan Beradek Cina keseluruhannya ada 300 rumah dan sekitar 2,000 penduduk sahaja.

Beliau menjelaskan sebelum ini cadangan penyediaan perkhidmatan feri terbabit telah tertangguh kerana salah satu cabaran besarnya ialah dari segi keselamatan.

“Ini kerana sungai kawasan terbabit bersebelahan dengan pelabuhan yang besar dan banyak kapal. Apabila kita cadangkan kepada kerajaan negeri, kita dikehendaki memberi jaminan bahawa kawasan sungai terbabit selamat (bagi perkhidmatan feri),” katanya.

Berikutan itu pihaknya sudah melantik juruperunding keselamatan sungai dan baharu sahaja mendapatkan sijil keselamatan bagi menyediakan perkhidmatan feri itu.

Dr Hazland berkata perkhidmatan feri tersebut adalah langkah jangka masa pendek bagi menyelesaikan masalah perhubungan kawasan Tanjung Embang yang kini masih dipisahkan sungai-sungai dengan bandar raya Kuching.

Katanya langkah jangka masa panjang ialah membina jambatan di Tanjung Bako melintasi Sungai Loba Batu Belat yang akan menelan kos lebih RM200 juta.

Dr Hazland (kiri) menyampaikan peruntukan kepada penduduk kampung di Tanjung Embang dan disaksikan Syed Hamzah (dua dari kiri) ketika Sesi Libat Urus Program Pertanian Bersepadu Kawasan Tanjung Embang di Kampung Beradek.

Sementara itu, Syed Hamzah berkata dengan adanya perkhidmatan feri itu selepas ini, pihaknya akan memohon semula peruntukkan sebanyak RM45 juta dari Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menambah baik jalan sedia ada di kawasan Tanjung Embang.

Katanya ini kerana peruntukkan itu bagi memanjangkan jalan kampung sedia ada supaya penduduk boleh memandu kereta sehingga ke perkarangan rumah mereka tetapi telah dibatalkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng sebelum ini.

Namun, beliau mendedahkan Muhyiddin telah meminta Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengusulkan semula kepada kerajaan pusat bagi menyediakan peruntukan terbabit tiga hari lepas.

“Kita berharap mudah-mudahan, Perdana Menteri akan bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan ini semula,” katanya.

Beliau menjangkakan dengan perhubungan jalan raya yang baik dan adanya kemudahan feri akan memudahkan penduduk lima kampung itu memasarkan produk pertanian mereka ke bandar raya Kuching. — DayakDaily