Pertimbangkan tokoh Dayak isi kekosongan pengerusi Unimas — MP Lubok Antu

Jugah Muyang

KUCHING, 11 Jan: MP Lubok Antu Jugah Muyang gesa kerajaan persekutuan mempertimbangkan lantikan jawatan pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) yang baharu dari kaum Dayak.

Katanya, ia adalah untuk mencapai keseimbangan kaum dalam sektor awam negeri dan demi kebaikan serta penyusunan semula yang adil untuk semua kaum.

“Adalah mustahil daripada 2.7 juta anak tempatan Sarawak, tiada seorang pun yang layak untuk menjawat jawatan itu. Adakah anak tempatan dari kaum Dayak tidak ada yang berbakat dan berkaliber untuk dilantik ke jawatan pengerusi Unimas yang baharu?


“Sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan melakukan perubahan demi keseimbangan bilangan penjawat awam dengan mengambil kira komposisi semua kaum di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media semalam.

Jugah yakin Sarawak memiliki ramai tokoh anak tempatan dari kaum Dayak yang berkelayakan dan seharusnya mengisi jawatan tersebut.

Beliau turut menamakan beberapa tokoh dan diantaranya adalah Profesor Jayum Jawan, Profesor Neilson Ilan Mersat dan Profesor Madeline Berma.

Di sampimg itu, beliau menyifatkan perlantikan bekas MP Wangsa Maju, Kamal Salih, pada awal bulan ini sebagai satu langkah kebelakang dalam perbincangan penurunan kuasa kepada Sarawak.

Menurut beliau, ia juga bercanggah sama sekali dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tindakan kerajaan persekutuan itu dilihat menafikan kepentingan anak tempatan Sarawak.

“Perlantikan pengerusi Unimas yang baharu, iaitu yang pertama kali bukan orang Sarawak telah mengejutkan ramai pihak.

“Ia sekali gus menimbulkan perdebatan kerana lantikan tersebut harus diberi keutamaan kepada orang tempatan Sarawak,” ujar beliau.

Namun, beberapa hari selepas pelantikannya sebagai pengerusi baharu Unimas, Kamal telah mengumumkan peletakan jawatannya.

Peletakan jawatan beliau itu susulan pelantikannya telah menyebabkan rakyat Sarawak kecoh terutama kerajaan negeri yang menyatakan pihaknya tidak dibawa berunding mengenai pelantikan itu seperti mana amalan biasa dilakukan sebelum ini.

Kamal tegas mengatakan bahawa sia-sia untuk beliau memegang jawatan itu selepas negeri memberitahu mereka mahukan orang tempatan. — DayakDaily