Pertimbang kebimbangan ibu bapa hantar anak ke sekolah waktu Covid-19

Julius Enchana
Advertisement

KUCHING, 26 Feb: Pembukaan sesi persekolahan pada 1 Mac ini perlu mengambil kira kebimbangan ibu bapa murid berkenaan situasi semasa jangkitan Covid-19 khususnya melibat kawasan luar bandar.

Setiausaha Agong Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) Julius Enchana berkata, kebimbangan itu timbul memandangkan hampir 90 peratus murid-murid di pendalaman Sarawak akan tinggal di asrama apabila sesi persekolahan tersebut bermula.

“Sekiranya sekolah dibuka adakah sekolah benar benar bersedia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutamanya di kawasan yang masih berstatus merah seperti Sibu, Kapit, Song dan Kanowit,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Advertisement

Katanya, tindakan memberikan vaksin kepada tenaga pengajar atau guru-guru serentak dengan pertugas barisan hadapan lain dilihat sebagai satu cara terbaik untuk mengatasi kebimbangan tersebut.

Ini kerana, ujar beliau apabila sesi persekolah mula dibuka, guru merupakan individu yang banyak menghabiskan masa bersama pelajar atau murid terbabit.

“Usaha kerajaan membuka sekolah pada Mac akan datang adalah sesuatu tindakan yang murni namun kerisauan ibu bapa ini jangan diambil mudah kerana ia berupaya menjejaskan perkembangan pendidikan anak-anak mereka,” katanya.

Julius berkata, situasi Perdana Menteri menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 walaupun beliau bekas pesakit kanser membuktikan semua lapisan layak untuk mendapat vaksin berkenaan.

Namun begitu katanya, masalah mungkin timbul bagi mereka yang berada jauh di pendalaman memandangkan tiada jaminan bahawa tidak ada kesan sampingan diterima dengan pengambilan vaksin tersebut. — DayakDaily

Advertisement