PBDSB: Masyarakat Iban di Dudong mahu diwakili Iban

Julius (berdiri kanan) berucap pada lawatan ke sebuah rumah panjang di Dudong.

KUCHING, 17 Dis: Calon dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N52 Dudong Julius Enchana yakin memperolehi majoriti undi dari kaum Iban pada Pilihanraya Negeri (PRN) esok.

Menurut Julius, kaum Iban mahukan kawasan N52 Dudong diwakili oleh wakil rakyat di kalangan kaum Iban.

Katanya yang juga Setiausaha Agung PBDSB, sepanjang tempoh berkempen, masyarakat Iban di N52 Dudong meluahkan keinginan selama 30 tahun agar kawasan ini dikembalikan kepada Iban.


“Sudah terlalu lama semenjak Jawan Empaling tiada lagi yang mewakili kaum Iban di Dudong.

“Kita harus melihat, terdapat lima calon Cina yang bertanding di DUN ini, makanya kita Iban harus bersatu hati dan terjemahkan luahan berkenaan ke kertas undi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Julius, pembangunan dan perancangan yang lebih efektif dapat dilaksanakan sekiranya DUN Dudong dilakukan persempadanan semula.

Jelas beliau, DUN Dudong terlalu besar dan terbahagi kepada dua iaitu luar bandar dan bandar dan ini menyukarkan pembangunan seimbang dilakukan.

Dalam pada itu, beliau berkata mendapat sokongan dari masyarakat Cina dan Melayu/Melanau.

‘Saya amat kagum dan ini adalah masa Dayak merebut peluang ini bersatu hati mengembalikan N52 Dudong kepada Dayak Iban,” kata Julius. — DayakDaily