Pertemuan Agong, Ahmad Zahid ditangguh


KUALA LUMPUR, 16 Okt: Pertemuan antara Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang djadual menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam ditangguhkan.

Memetik laporan UMNO Online, perkara itu disahkan sendiri oleh Ahmad Zahid yang memberitahu pertemuan tersebut ditangguhkan kepada satu tarikh yang belum ditetapkan.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu sebab mengapa pertemuan tersebut ditangguhkan.


“Ditangguhkan dan tarikh belum ditentukan bila waktunya untuk kita menghadap tuanku,” katanya menerusi telegram Rabu lalu.

Pada Selasa lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu Ahmad Zahid dijadual menghadap Al-Sultan Abdullah pada jam 5 petang Khamis selepas menghadiri mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di sini.

Ia susulan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk menyembah maklum kepada Seri Paduka bahawa beliau mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu. –DayakDaily