Pertarungan 10 pusingan Kilat Boy kemuncak WBC 2024 di Kuching

Rahman (tengah) pada sidang media di Kuching.

KUCHING, 9 April: Pertarungan 10 pusingan di antara Daeloniel McDelon Bong atau Kilat Boy dengan juara bertahan dari Thailand adalah kemuncak kepada Kejuaraan Tinju Dunia (WBC) 2024 di Kuching pada 11 Mei depan.

Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Dato Rahman Lariwoo berkata, ia adalah bagi merebut talipinggang kejuaraan super bantamweight.

“Pertarungan ini juga bagi merebut mata ranking selain persediaan Kilat Boy bagi menghadapi WBC di Singapura dan Korea akan datang,” katanya pada sidang media di Kuching hari ini.


Selain pertarungan Kilat Boy tambah Rahman, kejohanan kali ini turut menyaksikan peninju Jepun dan India bertarung 10 pusingan merebut talipinggang kejuaraan fly weight.

Kedua-kedua kejuaraan talipinggang menyediakan hadiah wang tunai USD2,700.

Manakala 4 perlawanan lagi membabitkan pertarungan 6 pusingan bagi mengumpul mata ranking WBC.

“Perlawanan berlansung di Stadium Tertutup Petra Jaya bermula 3 petang dan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kemasukan adalah percuma,” kata Rahman.

Perlawanan WBC 2024 serentak dengan Terbuka Sarawak yang akan dilangsungkan dari 6 Mei hingga 10 Mei.

Terbuka Sarawak edisi ketiga itu akan menjadi platform persediaan petinju-petinju Sarawak untuk menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan diadakan pada Ogos nanti. — DayakDaily

Daeloniel McDelon Bong